
Penyokong Hindraf ganas
Penunjuk perasaan teruskan perhimpunan haram, 136 ditahan bantu siasatan
KUALA LUMPUR: Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) semalam berdegil dengan meneruskan perhimpunan haram di beberapa lokasi di sekitar ibu negara tanpa mempedulikan larangan mahkamah dan amaran polis. Malah, penyokong kumpulan itu bertindak ganas dengan membaling pelbagai objek termasuk besi, batu, tong sampah dan botol minuman ke arah pasukan polis selain merosakkan harta benda awam. Sekurang-kurangnya empat anggota polis cedera termasuk seorang menerima 11 jahitan di kepala kerana diserang dengan batu bata, manakala tujuh kereta peronda rosak dibaling batu dan sebuah bas terbakar apabila seorang penunjuk perasaan membaling molotov koktail di Batu Caves. Berikutan itu, polis menahan 136 penyokong kumpulan itu dan mengambil keterangan 105 orang lagi untuk membantu siasatan.
*******************************************
Dalang mahu cemar kerajaan
KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata rakyat perlu menggunakan forum yang disediakan untuk menyuarakan masalah dan tidak bertindak mengadakan demonstrasi jalanan. Beliau berkata, MIC dan kerajaan tidak akan menyokong sebarang demonstrasi jalanan sebagai cara menyelesaikan masalah. Sambil menyatakan parti itu menyedari isu dan masalah yang dihadapi masyarakat India, beliau yang juga Menteri Kerjaraya menegaskan, demonstrasi jalanan bukan jawapan kepada permasalahan itu.
*******************************************
Tegahan demonstrasi elak isu perkauman: Najib
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak menegaskan, tindakan kerajaan tidak membenarkan perhimpunan haram yang dianjurkan Pasukan Tindakan Hak-Hak Hindu (Hindraf) bertujuan mengelaknya daripada merebak dan menjadi isu perkauman, sekali gus menimbulkan konflik lebih besar. Timbalan Perdana Menteri berkata, berikutan itu kerajaan pada peringkat awal lagi menegah perhimpunan itu diadakan kerana ia mudah mencetuskan isu perkauman, apatah lagi apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu.
*******************************************
Pelancong kecewa ketenteraman terganggu
KUALA LUMPUR: Pelancong asing memberikan reaksi negatif terhadap perhimpunan haram yang dianjurkan Pasukan Tindakan Hak-Hak Hindu (Hindraf) di hadapan pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di sini, semalam.Kebanyakannya menganggap perhimpunan itu tidak sepatutnya diadakan kerana bukan saja tidak mendapat kebenaran, malah boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, berikutan tindakan ganas segelintir penyokong pertubuhan berkenaan.
*******************************************
Perhimpunan jejas aktiviti perniagaan
KUALA LUMPUR: Perhimpunan haram Pasukan Tindakan Hak Hak Hindu (Hindraf) di persekitaran Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak, semalam, menyebabkan peniaga di sekitar kawasan itu mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit. Ia berikutan tindakan itu menyebabkan mereka terpaksa menutup premis perniagaan selama beberapa jam, malah ada yang sepanjang hari kerana bimbangkan keselamatan diri selain perbuatan mencuri. Tinjauan Berita Harian di beberapa premis perniagaan termasuk stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam, restoran dan kompleks beli belah sekitar kawasan itu, semalam, sebahagian besar premis ditutup dan dikunci sebagai langkah keselamatan.
*******************************************
Orang ramai takut masuk ibu negara
KUALA LUMPUR: Keadaan di sekitar ibu negara sejak malam kelmarin hingga petang semalam lenggang berikutan kebimbangan orang ramai untuk keluar selepas pengikut Pasukan Tindakan Hak-Hak Hindu (Hindraf) mengadakan perhimpunan haram di Jalan Ampang, pagi semalam.
Jurucakap Polis Trafik Jalan Bandar, berkata sebahagian jalan di sekitar Jalan Ampang lenggang manakala tempat lain lalu lintas berjalan lancar walaupun sekatan jalan raya diadakan.Polis menutup Jalan Ampang kepada semua kenderaan mulai jam 3 pagi semalam, manakala sebahagian Jalan Tun Razak ditutup mulai jam 6 pagi, bagi menghalang pengikut Hindraf daripada berkumpul di situ.
*******************************************
69 penyokong Hindraf direman
KUALA LUMPUR: Enam puluh sembilan penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) direman tiga hari mulai semalam bagi membantu siasatan pembabitan mereka dalam perhimpunan haram di Batu Caves, dekat sini, awal pagi semalam. Mereka ditahan kira-kira jam 3 pagi ketika mengadakan perhimpunan di Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves. Jurucakap peguam Hindraf, Ravi Nekoo, berkata 69 penyokong itu termasuk seorang remaja lelaki berusia 16 tahun turut didakwa melakukan rusuhan.
For more details/latest update please view www.bharian.com.my.
0 comments:
Post a Comment